Tuesday, April 7, 2009

TERKINI - Sekitar PRK Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai - 0117PM-0340PM

Tuesday, April 7, 2009
3.40pm SPR mengumumkan, jumlah keluar mengundi di DUN Bukit Selambau meningkat kepada 61 peratus setakat jam 3 petang. Jumlah ini dijangka meningkat sehingga 70 peratus menjelang penutupan pusat-pusat pengundian pada jam 5 petang nanti.

3.25pm Penulis blog Anil Netto memuatkan klip video yang menunjukkan kumpulan penyokong PAS mengalami keperitan sewaktu terkena gas pemedih mata yang dilepaskan di luar pusat mengundi SMK Pengkalan Aur di Bukit Gantang pagi tadi.

3.20pm Angkatan Muda PKR akan membuat aduan polis terhadap seorang ketua tempat mengundi di SM Sains Sultan Muhammad Jiwa yang didakwa enggan menandatangani borang bantahan ejen tempat mengundi calon PKR di DUN Bukit Selambau.Laporan polis itu akan dibuat oleh ketua AMK Batu, Rozan Azen.

3.05pm Dua penyokong BN ditegur oleh anggota polis apabila mereka menunjukkan isyarat lucah terhadap penyokong PAS di luar SK Panglima Bukit Gantang di parlimen Bukit Gantang.

3.00pm Sehingga jam 2 petang ini, seramai 55 peratus pemilih keluar mengundi dalam pilihanraya kecil DUN Bukit Selambau.

2.40pm Sehingga jam 2 petang tadi, seramai 58.11 peratus pemilih keluar mengundi dalam pilihanraya kecil parlimen Bukit Gantang.

2.00pm Sebahagian besar pusat mengundi di Batang Ai telah ditutup, dan jumlah yang keluar mengundi adalah tinggi. Contohnya, di tiga daerah yang ramai pengundi - Sebangki, Mepi dan Batu Kaya - mereka keluar mengundi sejak awal pagi tadi dan dua jam sebelum pusat itu ditutup, jumlahnya mencecah lebih 70 peratus.Ia dipercayai berkaitan dengan minat pengundi terhadap beberapa faktor termasuk pentingnya pilihanraya kecil DUN Batang Ai kepada PKR dan BN di Sarawak serta banyak isu-isu tempatan termasuk isu tanah adat. Pemimpin PKR dan BN masing-masing menyuarakan keyakinan akan menang.

1.50pm Laman web Mafrel mendakwa pemerhatinya, di sebuah sekolah, ternampak seorang wanita menukar pakaian untuk masuk semula membuang undi beberapa kali ke pusat tersebut di Para Petani, Bukit Gantang. Baca laporan lanjut.

1.45pm Pemantau pilihanraya Mafrel melaporkan, sebuah bas yang disyaki pembawa pengundi hantu menimbulkan suasana kecoh di luar SK Panglima Bukit Gantang kira-kira jam 1.20 tengah hari tadi. Polis sedang mengawal keadaan di pusat pembuangan undi itu bagi parlimen Bukit Gantang. Hujan mula berhenti di banyak tempat dan jalan di sekitar Simpang mulai lengang.

Sementara itu, SPR menyatakan, kira-kira 50 peratus pengundi di Bukit Selambau telah memangkah calon masing-masing sehingga 1 tengah hari tadi.

1.17pm ADUN Changkat Jering, Mohd Osman Jailu mendakwa beliau mendapat ejekan daripada penyokong PAS dengan gelaran "pengkhianat" dan "lompat" apabila bekas wakil rakyat PKR itu tiba untuk membuang undi di SK Changkat Jering jam 10 pagi tadi.Bekas exco kerajaan Perak yang kini ADUN bebas bawah parlimen Bukit Gantang memberitahu Malaysiakini, bagaimanapun penyokong PKR hanya diam sahaja. Beliau keluar dari tempat pengundian kira-kira jam 12. Tiada kekasaran fizikal dilakukan terhadapnya.

-mkini

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Pocket