Thursday, April 9, 2009

BERITA PANAS HANGAT - Siapa bunuh Altantuya?

Thursday, April 9, 2009
Saya Ingin Bebas - Azilah

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- "Jika ditanya, saya memang ingin bebas daripada tuduhan ini," kata Cif Inspektor Azilah Hadri penuh harapan walaupun menerima hakikat dia bakal berhadapan dengan hukuman mati esok (Khamis) sekiranya Mahkamah Tinggi membuat keputusan sebaliknya.

Azilah yang didakwa membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu tiga tahun lalu menyatakan demikian kepada Bernama pada hari terakhir perbicaraan membela diri di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Februari lepas.

Kata-katanya itu disambut dengan senyuman oleh tunangnya Nur Azila Baharuddin yang sentiasa berada di sisi memberi sokongan. Dan menurut Nur Azila, sekiranya impian Azilah menjadi kenyataan, mereka akan berkahwin secepat mungkin.Nur Azila berkata dia amat berdebar dan takut untuk berhadapan dengan kenyataan esok.

PENDAKWAAN TIGA TAHUN LALU
Dalam kes yang pernah menjadi tumpuan media tempatan dan antarabangsa ini, kedua-dua mereka didakwa membunuh Altantuya, berusia 28 tahun, di antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat sini antara pukul 10 malam, 19 Okt dan 1 pagi, 20 Okt 2006.

Sebelum ini, mereka dibicarakan bersama-sama Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia (MSRC), Abdul Razak Abdullah Baginda, 48, yang dituduh bersubahat membunuh Altantuya.

Bagaimanapun pada 31 Okt 2008, penganalisis politik itu dilepaskan dan dibebaskan tanpa perlu membela diri setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen penting dalam pertuduhan bersubahat.

KETEGASAN HUJAH PENDAKWAAN
Sebagai tertuduh, Azilah dan Sirul Azhar yang mengaku tidak bersalah sudah berhujah dan mengharapkan pembebasan, tetapi bagi pihak pendakwaan, kedua-duanya ialah orang yang benar-benar terlibat dalam pembunuhan Altantuya hingga jasadnya berkecai akibat dibom.

Pendakwaan yang dibarisi Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah, Noorin Badaruddin, Manoj Kurup dan Hanim Rashid menegaskan di dalam hujahan mereka bahawa Azilah dan Sirul Azhar telah merancang pembunuhan Altantuya.

Berdasarkan keterangan saksi semasa kes pendakwaan, bom yang digunakan untuk meletupkan mayat Altantuya, berkemungkinan diletakkan ke dalam mulut wanita itu.Hujahan Manoj di akhir kes pembelaan juga berkata kedua-dua tertuduh mempunyai motif untuk membunuh dan jenayah yang dilakukan telah dirancang lebih awal.

PEMBELAAN DI AKHIR KES
Azilah yang mula memberi keterangan pada 15 Jan lalu , berkata dia tidak mempunyai sebarang motif untuk membunuh dan melenyapkan wanita itu sebaliknya tujuan dia berjumpa dengannya (Altantuya) hanya untuk menasihati Altantuya secara lembut supaya tidak mengugut Abdul Razak dan tidak membuat kecoh di rumah penganalisis politik itu.

Azilah juga memberitahu mahkamah dia diarahkan oleh seorang anggota polis atasan, DSP Musa Safri untuk membantu Abdul Razak dan tidak mungkin melakukan perbuatan "bodoh" (membunuh) itu apatah lagi dia adalah anggota polis.

Pembelaan Sirul Azhar pula amat mengejutkan kerana dia bukan sahaja dilihat mengalirkan air mata, malah kenyataannya bahawa dia sekadar kambing hitam yang harus dikorbankan, amat menyentuh perasaan.

"Saya tidak mempunyai sebarang sebab untuk mencederakan apatah lagi mengambil nyawa mangsa dengan begitu kejam. Saya merayu kepada mahkamah yang kini berada di dalam kedudukan dan mempunyai kuasa untuk menentukan hidup dan mati saya, agar tidak menghukum saya sekaligus menyempurnakan perencanaan mereka terhadap saya," katanya pada 4 Feb lalu sambil membacakan nota bertulis.

KEPUTUSAN YANG DITUNGGU-TUNGGU
Kes ini bukan sahaja dilabelkan sebagai perbicaraan yang paling panjang (159 hari) dengan mengemukakan 84 orang saksi di peringkat pendakwaan dan dua saksi (tertuduh sahaja) ketika pembelaan, tetapi merupakan kes utama mahkamah selama dua tahun (sebelum Abdul Razak bebas).

Mengikut rekod, Azilah ditahan di penjara Sungai Buloh selama 891 hari manakala Sirul Azhar ditahan selama 895 hari.

Peranan dua anggota UTK ini dalam pembunuhan Altantuya memang menjadi perdebatan dengan pelbagai tanggapan timbul, tetapi apapun keputusan mahkamah akan menentukan sama ada mereka akan bebas seperti mana Abdul Razak, atau berhadapan dengan hukuman gantung sampai mati.-- BERNAMA

...Yang pasti ada kambing hitam akan dikorbankan...
...Yang pasti akan lebih banyak timbul persoalan...
...Yang pasti keadilan sebenar tidak akan ditegakkan...
...Yang pasti kebenaran tetap disembunyikan...
...Yang pasti ada nama perlu dibersihkan...
...Yang pasti... pembunuh Altantuya pasti akan menerima pembalasan tuhan...
...Yang TIDAK pasti...Siapa yang arahkan pembunuhan Altantuya...

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Pocket