Sunday, May 3, 2009

CATATAN UNTUK DIRI SENDIRI - PAS bakal tersadung

Sunday, May 3, 2009
Bila tengok keadaan PAS sekarang, sedih pun ada, nak ketawa pun ada. Tetapi atas nama demokrasi semua orang bebas untuk memberikan pendapat. Isunya pasal timbalan presiden PAS mesti ulama atau bukan dari ulama. Takkanlah perkara yang semudah sebegini sampai ahli PAS tidak boleh nak selesai.

Kalau sesuatu wadah perjuangan itu berlandaskan dengan Islam, maka secara automatik segala bentuk konsep dan organisasi harus mempunyai wajah Islam. Paling kurang ianya mesti mirip-mirip perjuangan nabi SAW. Kalau ianya berlawanan dengan konsep nabi SAW, secara automatiknya boleh ditolak. Sebagaimana pemerintahan sekular.

Isu nak cari pemimpin nombor dua dan naib presiden PAS ini sememangnya amat bagus. Bukan kerana apa,disinilah baru kita dapat melihat yang mana mengikut perjuangan Nabi SAW dan yang mana berjuang untuk perut sendiri. Perjuangan untuk nafsu dan akal semata-mata atau perjuangan menegakkan kebenaran Islam, yang mana satu jalan bakal akan dipilih.

Sedangkan paling kurang kita semua, akan mendengar setiap kali khutbah jumaat, pesanan dari khatib, "jika kamu berselisih hendaklah kamu berpegang kepada tali Allah". Berapa banyak ahli PAS tak paham tali Allah itu apa? Pergi sembahyang Jumaat masa khutbah buat apa, tidur lagi ke? Rasanya semua tahu, tak lain tak bukan al-Quran dan sunnah nabi SAW. Jadi mengapa payah sangat nak kembali pada akar Islam apabila sesuatu masalah timbul.

Adakah ini disebabkan perjuangan untuk mengisi perut sendiri lebih penting daripada perut-perut yang lain. Kalau benarlah ini sudah terjadi, seharusnya pemimpin-pemimpin PAS perlu mengambil pendekatan proaktif supaya wabak ini tidak menular seperti selsema babi. Bukan hanya berceramah dan bercakap di atas pentas sahaja. Pemimpin-pemimpin ini haruslah turun ke bawah dan menangani permasalahan ini secara serius.

Berbalik kepada soal orang nombor dua dalam PAS dan juga naib presiden. Sudah tentu ianya berkaitan dengan negara Islam. Aku masih ingat kepada Allahyarham Ishak Hj Baharom (Al fatihah untuk beliau) yang pernah mengajar kitab Ihya Ulumuddin karangan al-Ghazali ath-Thusi atau dikenali Imam al Ghazali bab negara Islam.

Antara syarat-syarat negara Islam ialah tentang pemerintahannya mestilah di perintah oleh lima golongan ini.
1. Rasul-rasul
2. Nabi-nabi
3. Aulia-aulia
4. Ulam-Ulama
5. Mubaligh-Mubaligh Islam.

Sedaif-daif negara Islam, negara tersebut mestilah dipimpin oleh pendakwah-pendakwah Islam. Dua golongan yang pertama sudah tiada dan wafat. Golongan aulia atau wali Allah begitu sukar untuk dicari. Golongan keempat pula tentang ulama. Golongan ulama yang macam mana boleh menerajui sesebuah negara Islam? Golongan ulama yang berijtima. Masih adakah golongan ulama yang sebegini? Fikir-fikirkanlah sendiri.

Yang tinggal hanyalah golongan ulama yang bertaraf pendakwah-pendakwah Islam. Kalau golongan ini pun kita tolak, apa lagi yang tinggal. Yang tinggal hanyalah negara untuk umat Islam dan bukan lagi negara Islam. Maka selayaknyalah kita dipimpin oleh orang yang zalim kerana kita tidak pernah sedetik pun daripada kita menyesali daripada menzalimi diri sendiri. Ingatlah azab Allah itu amat berat dan pedih.

Jadi gunakanlah akal yang baik untuk berfikir, supaya fikiran dapat menentukan yang mana baik dan yang mana buruk. Akal yang baik datang datang daripada hati yang baik, hati yang baik sentiasa mengingati Allah. Semoga kita semua sentiasa mendapat petunjuk yang benar sebagaimana Dia telah berikan kepada mereka yang terdahulu. Amin.

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Pocket